GURU FEQAH...untuk ibadah ZOHIR...mudah ditemui...NAMUN...GURU MURSYID...untuk ibadah BATIN...sulit dan jarang diTEMUi...Selagi jasad masih berNYAWA...guru MURSYID..ARIF BILLAH..afdhol di CARI..kerana Nabi MUHAMMAD SAW itu...GURU kepada orang MUKMIN bagi...zohir dan BATIN..berSALASILAH seperti..ilmu FEQAH juga...menggunakan HADIS berSANAD...Namun TUAN PUNYA blog ini pun BUKAN GURU MURSYID

AMARAN : jika tuan puan TAK FAHAM semasa membaca perkara yang TERTULIS di bawah ini...tolong jangan katakan ini AJARAN SESAT..kerana setiap ILMU itu...ALLAH SWT...tetap menjadikan AHLInya kepada ILMU itu. Jika kita TAK PAHAM..ilmu sains atau matematik...jangan kita..katakan pakar sains dan matematik...itu SESAT pulak.. SIAPA yang faham...berSYUKURlah kepada Allah SWT..

CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Sunday, 27 March 2011

Peperangan Jamal..Pemurnian Sejarah.


Oleh : Dakwahmtaq
Perang Jamal telah berlaku di antara dua pasukan tentera kaum Muslimin. Pasukan pertama telah diketuai oleh Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib Radhiallahu ‘Anhu dan pasukan kedua pula telah diketuai oleh Ummul Mukminin ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha. Setelah terjadinya peperangan tersebut, sebahagian umat Islam mula memberikan pelbagai-bagai sangkaan terhadap apa yang telah berlaku di antara Amirul Mukminin dan Ummul Mukminin. Ada di antara mereka yang menyokong Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib sambil memburuk-burukkan Ummul Mukminin ‘Aisyah dan begitulah sebaliknya. Umat Islam kembali mengalami perpecahan kerana kebingungan masing-masing.

Apakah sebenarnya yang telah berlaku di antara mereka sehingga menyebabkan berlakunya peperangan ini? Jadi pihak kami (Badan Dakwah dan Kepimpinan 2006) telah mengambil inisiatif membalas dan menjelaskan segala tohmahan dan kekeliruan yang telah dilemparkan kepada Sahabat Nabi S.A.W sebagaimana sabda baginda :

“Janganlah kamu mencerca para sahabatku…” dan

firman Allah S.W.T :

“…Sesungguhnya Allah telah REDHA kepada mereka (Muhajirin dan Ansar) dan mereka juga telah redha kepada-Nya…” (Surah At-Taubah : ayat 100).

PEMBERONTAKAN UMMUL MUKMININ KEPADA AMIRUL MUKMININ?

Benarkah Perang Jamal adalah satu gerakan pemberontakan kepada Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib? Perang Jamal bermula apabila ‘Aisyah, Thalhah dan Az-Zubair Radhiallahu ‘Anhum serta orang-orang yang bersama dengan mereka telah pergi ke Basrah. Mereka mula bertolak apabila mendengar pengangkatan Ali bin Abi talib sebagai Amirul Mukminin yang baru selepas Amirul Mukminin Uthman Radhiallahu ‘Anhu dibunuh atas sebab fitnah yang telah dilemparkan oleh pemberontak-pemberontakan. Pemberontak-pemberontak tersebut tidak lain adalah golongan mereka yang telah memendamkan perasaan dendam dan dengki terhadap Amirul Mukminin Uthman Radhiallahu ‘Anhu. Melihatkan pemergian tersebut, Amirul Mukminin Ali juga mengambil inisiatif untuk pergi ke Basrah bersama dengan pasukannya. Apabila menghampiri kota Basrah, kedua-dua pasukan Muslimin ini telah bertembung dan dengan itu berlakulah satu peperangan yang telah dinamai dengan peperangan Jamal. Ia telah dinamakan dengan sedemikian adalah kerana, Ummul Mukminin ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha ketika itu sedang berada di atas unta (Jamal).

Dalam peristiwa tersebut telah timbul kepada sekalian umat Islam dua persoalan. Yang pertama : kenapakah Ummul Mukminin ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha dan pasukannya bertolak menuju ke kota Basrah? Yang kedua ialah : Kenapakah kedua-dua pasukan tersebut bertembung dan berperang di antara satu sama lain?

Bagi menjawab soalan pertama orang mula memberikan pendapat mereka masing-masing dan daripada pendapat-pendapat yang serong inilah terjadinya perpecahan yang amat besar kepada umat Islam.

Di antara pendapat-pendapat tersebut ialah, ada yang berkata mereka (‘Aisyah dan pasukannya) keluar kerana mereka ingin melucutkan Amirul Mukminin Ali daripada jawatannya, ada yang berkata mereka keluar kerana kebencian mereka terhadap Ali, dan ada juga yang berkata mereka keluar kerana ingin menyatu padukan umat Islam selepas perpecahan yang berlaku semasa pemerintahan khalifah Uthman bin Affan. Dalam hal ini, Al-Imam Ibnu Hazm Rahimahullah telah berkata :

“Dan adapun (pemergian ke Basrah) Ummul Mukminin (‘Aisyah), Az-Zubair dan Thalhah Radhiallahu ‘Anhum berserta orang-orang yang bersama dengan mereka tidaklah mereka sedikitpun ingin membatalkan kekhalifahan Ali (Radhiallahu ‘Anhu), mereka tidak (juga) mencabar jawatan tersebut, mereka tidak menyebut apa-apa kecacatan yang merendahkan beliau (Ali Radhiallahu ‘Anhu) daripada jawatan tersebut, tidak juga bertujuan mengangkat khalifah yang baru yang lain dan tidak memperbaharui bai’ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat diingkari oleh sesiapa dengan apa cara jua.

Kebenaran yang sebenar yang tidak memiliki apa-apa permasalahan padanya adalah mereka tidak pergi ke Basrah untuk memerangi Ali atau menentangnya atau mencabut bai’h daripadanya…yang benar mereka berangkat ke Basrah tidak lain (adalah) untuk menutup (daripada berlakunya) perpecahan yang baru dalam Islam disebabkan peristiwa pembunuhan yang zalim ke atas Amirul Mukminin Uthman Radhiallahu ‘Anhu.” [al-fishal fi al-milal wa al-ahwa’ wa al-nihal, (ditahqiq oleh Ahmad Syams Ad-Din; Dar Al-Kutub Al-Ilmiah, Beirut, 1996), jilid 3, ms.83]

Berdasarkan penerangan di atas, jelas kepada kita semua jawapan kenapakah Ummul Mukminin ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha berserta pasukannya pergi ke kota Basrah. Cubalah berfikir secara positif, manakah mungkin mereka yang telah diredhai oleh Allah S.W.T melakukan perkara yang ditegahnya iaitu memutuskan silatur rahim. Mereka juga adalah orang yang selalu berada di sisi Rasulullah S.A.W, mengikuti sunnah baginda, berhijrah bersama baginda, berperang bersama baginda dalam setiap peperangan yang baginda lalui dan memberikan janji taat setia (bai’ah) kepada baginda di bawah pokok. Di bawah ini akan dijelaskan kenapakah peperangan tersebut boleh berlaku sedangkan mereka adalah orang yang telah dijanjikan syurga oleh Tuhan Sekalian Alam.

KENAPAKAH BERLAKUNYA PEPERANGAN JAMAL?

Al-Imam Ibnu Hazm Rahimahullah berkata lagi, pasukan Ali (Radhiallahu ‘Anhu) turut ke Basrah bukan untuk memerangi pasukan ‘Aisyah tetapi untuk bersatu dengan mereka, menguatkan mereka dan menyatukan (kembali) umat Islam (di bawah satu panji) dalam menghadapi peristiwa pembunuhan Uthman (Radhiallahu ‘Anhu). [Al-Fishal, jilid 3, ms. 83]

Akan tetapi pada waktu yang sama terdapat sebahagian daripada pemberontak-pemberontak pada zaman Uthman yang menyelimutkan diri mereka di dalam kalangan umat Islam telah melihat rombongan pasukan ‘Aisyah pergi ke Basrah. Mereka mula menyalakan kembali api fitnah bahawa pemergian tersebut adalah kerana perpecahan daripada khalifah Ali. Namun, apabila mereka mendapat pengetahuan bahawa pasukan ‘Aisyah dan pasukan Ali telah bersatu mereka merasa amat bimbang dan cemas. Ini kerana selagi mana umat Islam tidak berada di bawah satu pemerintahan tentulah mereka akan terselamat daripada segala tindakan. Sebaliknya jika umat Islam kembali bersatu, mereka pasti akan dihukum oleh kesatuan umat Islam tersebut.

Oleh kerana itulah mereka cuba memikirkan bagaimanakah caranya untuk memecahkan kembali kesatuan pasukan Ali dan pasukan ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anhuma. Akhirnya mereka telah mengeluarkan satu pendapat dan akhirnya ia terlaksana dengan berlakunya peperangan Jamal. Sejarah hitam itu bermula pada awal pagi ketika mentari masih lagi belum memancarkan cahayanya, pasukan pemberontak mula menyerang pasukan ‘Aisyah. Dalam suasana terperanjat daripada tidur yang lena, masing-masing menjadi kelam kabut dalam suasana yang gelap gelita. Pasukan ‘Aisya mula menyangka bahawa pasukan Ali telah berlaku khianat dan menyerang mereka. Sebagai tindakan untuk mempertahankan diri, mereka mengangkat senjata dan membalas serangan yang telah dilakukan oleh pasukan pemberontak kepada pasukan Ali (kerana sangkaan mereka pasukan Ali yang menyerang). Pasukan Ali pula menyangka pasukan ‘Aisyah telah memberontak dan menyerang mereka. Dengan itu, mereka juga turut menyerang balas serangan yang dilakukan sebagai tindakan untuk mempertahankan diri mereka. Tanpa disangka dan diduga, berlakulah peperangan Jamal sekalipun kedua-dua belah pihak tidak mempunyai apa-apa niat untuk mengadakan peperangan. Dalam hal ini Al-Imam Ibnu Kathir memperincikannya dan ditulis di dalam kitab Al-Bidayah Wa An-Nihayah :

“Orang-orangpun merasa tenang lagi lega (kerana persatuan tersebut)… pada waktu malamnya kedua-dua pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Akan tetapi, pembunuh Uthman melalui malam tersebut dalam keadaan seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat untuk mencetuskan peperangan pada pagi esoknya. Mereka bangun sebelum terbitnya fajar, jumlah mereka menghampiri 1000 orang. Masing-masing kelompok bergabung dengan pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan ‘Aisyah) dengan pedang. Setiap golongan bergegas menuju kaumnya untuk melindungi mereka. Orang-orang (pasukan ‘Aisyah) bangun dari tidur dan terus mengangkat senjata. Mereka berkata : “Penduduk Kufah (pasukan Ali) menyerbu kita pada malam hari, mereka mengkhianati kita!”

Mereka (pasukan ‘Aisyah) menyangka bahawa para penyerang itu berasal dari pasukan Ali. Suasana huru hara tersebut sampai ke pengetahuan Ali, lalu beliau bertanya: “Apa yang terjadi kepada orang ramai?” Mereka menjawab: “Penduduk Basrah (pasukan ‘Aisyah) menyerang kita!”

Maka kedua-dua pihak mengangkat senjata masing-masing, mengenakan (memakai) baju perang dan menaiki kuda masing-masing. Tidak ada seorang jua yang mengetahui apakah yang sebenarnya terjadi.”

[al-Bidayah wa An-Nihayah, jilid 7, ms. 227]

Pada waktu perang sedang berlangsung, Ummul Mukminin ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha sedang berada di atas pelana untanya. ‘Aisyah tidak ikut berperang dan juga tidak mengarah sesiapa berperang. Ini telah dijelaskan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah di dalam kitabnya Minhaj As-Sunnah. Beliau mengatakan bahawa Ummul Mukminin ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha tidak diperangi dan tidak juga melibatkan dirinya dalam peperangan. Beliau menjangkakan pemergiannya ke Basrah terdapat kemaslahatan kepada umat Islam tetapi ternyata meninggalkan pemergiannya tersebut adalah lebih baik. Maka setelah itu apabila beliau mengingat kembali pemergiannya beliau akan menangis sehingga tangisan itu membasahi kain tudungnya.

Dengan penelitian yang telah dilakukan oleh para ilmuan Ahl Sunnah Wal Jamaah jelaslah bahawa ini bukanlah satu peperangan yang telah dirancang oleh kedua-dua pihak. Sesungguhnya janganlah kita mengatakan sesuatu yang buruk kepada para ahli syurga kerana kita sendiri belum mengetahui adakah kita termasuk dalam kalangan mereka (ahli syurga). Jika kita mendengar sebarang keburukan mereka maka diamkanlah dan sebutkanlah kebaikan yang telah mereka lakukan. Semoga segala usaha kita memperbaikkan nama mereka di pandangan masyarakat akan mendapat ganjarannya daripada Allah S.W.T

Sumber : 
http://dakwahmtaq.wordpress.com/2008/08/28/peperangan-jamal/