Saturday, 29 October 2011http://manzlie-makkah.blogspot.com/
" Ahlan WaaShahLan...."
Bertaqlid Dengan Mazhab Maliki Dalam Perkara Wudhu Ketika Mengerjakan Tawaf
Bagaimanakah cara berwudhu yang sebaik-baiknya sewaktu melakukan tawaf haji atau umrah bagi mengelakkan berulang-ulang mengambil wudhu kerana keadaan sekeliling Ka’bah yang sentiasa bersesak-sesak dan ramai? Adakah sebarang rukhshah mengenainya atau dibolehkan bertaqlid kepada mazhab lain?
Jawapan:
الحمد لله حمدا يوافى نعمه ويكافئ مزيده ، يا ربنا لك الحمد كما ينبغى لجلال وجهك وعظيم سلطانك ، اللهم صل وسلم على سيدنا ومولانا محمد وعلى آل سيدنا محمد صلاة تحيينا بها حياة طيبة ترضاها وتجعلنا بها هداة مهديين غير ضآلين ولا مضلين، وبعد
Mengikut al-qaul al-azhar dalam mazhab asy-Syafi’e bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram merupakan antara perkara-perkara yang membatalkan wudhu kedua-dua pihak sama ada yang disentuh atau yang menyentuh.
Maka sebagai langkah ke arah itu orang yang tawaf hendaklah berusaha supaya tidak menyentuh orang yang boleh membatalkan wudhu, kerana menurut al-qaul al-muqabil li al-azhar wudhu orang yang menyentuh sahaja yang batal sementara orang yang disentuh itu tidak batal wudhunya.
Maka dalam permasalahan tawaf yang menyebabkan kesulitan kepada para jemaah untuk mengambil wudhu kerana kepadatan yang amat sangat di kawasan tawaf itu, maka bolehlah beramal dengan qaul yang mengatakan tidak batal wudhu orang yang disentuh sebagai jalan masyaqqah atau kesulitan kerana terpaksa mengambil wudhu berulang-ulang kali jika beramal dengan qaul yang azhar.
Bahkan jika secara amalinya pendapat berkenaan itu pun susah juga untuk diamalkan, maka dalam hal ini adalah diharuskan bagi jemaah bertaqlid dengan mazhab Imam Malik yang mengatakan tidak batal jika bersentuh antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa diiringi nafsu syahwat.
Akan tetapi perlu difahami bahawa keharusan bertaqlid dengan mazhab-mazhab lain itu terdapat beberapa syarat yang wajib dipatuhi supaya perkara yang ditaqlidkan itu sah dan boleh damalkan.
Jika seorang yang bermazhab Syafi’e bertaqlid dengan mazhab Imam Malik, maka terlebih dahulu hendaklah dia mengetahui perkara-perkara yang hendak ditaqlidkan itu.
Umpamanya jika bertaqlid dalam perkara tidak membatalkan wudhu jika bersentuhan antara lelaki dan perempuan, maka hendaklah dia mengetahui syarat-syarat sah wudhu dan mengamalkan perkara-perkara wajib dalam wudhu yang terdapat dalam mazhab Imam Malik seperti yang akan dihuraikan kemudian, baharulah bertaqlid dalam perkara yang tidak membatalkan wudhu iaitu dalam perkara bersentuh dengan wanita bukan mahram tanpa syahwat.
Oleh yang demikian secara terperinci dijelaskan, bagi jemaah yang hendak mengikut mazhab Maliki dalam perkara ini hendaklah dia mengambil wudhu sebagaimana cara berwudhu dalam mazhab Maliki iaitu:
1. Niat.
2. Membasuh muka.
3. Membasuh dua tangan serta dua siku.
4. Menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga).
5. Membasuh dua kaki serta dua buku lali.
6. Berturut-turut dengan tidak berlengah-lengah pada membasuh satu anggota ke satu anggota wudhu yang dibasuh.
7. Menggosok atau menyental dengan tapak tangan anggota-anggota wudhu yang dibasuh.
Perlu diingat, ketika membasuh dan menyapu anggota wudhu hendaklah dilakukan berturut-turut tanpa bertangguh dari satu anggota ke satu anggota yang lain dan menggosok atau menyental dengan tapak tangan setiap anggota wudhu. Perbuatan ini menjadi tuntutan kerana termasuk di dalam fardhu atau rukun wudhu dalam mazhab Maliki.
Sementara perkara-perkara yang membatalkan wudhu dalam mazhab Maliki adalah seperti berikut:
1. Keluar sesuatu yang biasa keluar dari qubul (kemaluan) dan dubur, iaitu air kencing, air mazi, air wadi, air mani, air tetuban, darah istihadhah, tahi, dan angin.
2. Hilang akal dengan sebab gila, pitam, mabuk ataupun dengan sebab tidur yang lena. Antara tanda-tanda tidur yang lena itu ialah orang yang tidur itu tidak lagi mendengar suara di sekelilingnya, mengalir air liur daripada mulutnya ataupun terlepas sesuatu daripada genggamannya.
3. Apabila seorang yang baligh menyentuh lawan sejenis (antara lelaki dan perempuan) dengan perasaan nikmat (syahwat). Adapun mengucup pada mulut juga membatalkan wudhu walaupun tanpa perasan nikmat.
4. Apabila seorang lelaki baligh menyentuh kemaluannya dengan tapak tangannya tanpa berlapik. Tetapi tidak membatalkan wudhu seorang perempuan yang menyentuh kemaluannya (farj).
5. Murtad.
6. Merasa ragu setelah berwudhu adakah masih suci atau sudah batal.
Sehubungan dengan ini kita sarankan pihak yang bertanggungjawab dalam urusan haji sewajarnyalah menyampaikan maklumat di atas kepada jemaah haji supaya pengetahuan jemaah tentang bertaqlid dengan mazhab lain dalam masalah wudhu ketika tawaf akan lebih jelas dan sempurna dilakukan mengikut sebagaimana yang dikehendaki dalam mazhab berkenaan. Dengan demikian tidaklah bertaqlid dalam perkara wudhu itu dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa ilmu yang betul.
والله أعلم بالصواب
Bahasa Asal: Melayu
Negara Asal: Brunei
Tahun: 2004
Pengarang: Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Junid
Rujukan: Jabatan mufti Kerajaan, jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Nota: Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam 2004
No comments:
Post a Comment