Semasa kebangkitan rakyat rancak berlangsung di Mesir, "model Turki" mula rancak diperkatakan di media, terutamanya media Barat.
Model Turki dirujuk sebagai model demokrasi dan sekularisme seperti yang dilaksanakan di bawah pentadbiran AKP, Parti Keadilan dan Pembangunan.
Sekiranya diperhatikan daripada liputan media Barat sejak setahun lalu, haluan yang disebut "pasca-Islamis" ini dikemukakan sebagai satu pilihan atau jawapan kepada negara-negara Arab yang mula memasuki fasa baharu itu, yang pada masa itu ditanggapi dengan agak mudah sebagai dunia Arab meninggal politik yang tidak demokratik dan memasuki fasa demokrasi liberal.
Pilihan itu dari satu sudut kelihatan seperti dipaksakan ke atas kumpulan Islamis yang dilihat bakal menjadi kuasa baharu dalam politik negara Tunisia dan Mesir, dua negara yang mempunyai gerakan Islam yang berpotensi untuk menjadi pemain penting politik, seperti yang dapat dilihat pada hari ini.
Sama ada secara jelas atau tersirat, Tunisia dan Mesir digesa supaya mengikuti model Turki, dengan gerakan Islam yang menyertai politik dan berkuasa dalam pentadbiran negara mengambil landasan pasca-Islamis.
Lebih setahun selepas kebangkitan yang banyak ditanggapi secara simplistik itu, jalan menuju "model Turki" nampaknya sangat mencabar, kerana banyak sebab, termasuk demokrasi (pilihan rakyat) dengan isu dasar luar seperti hubungan baik dengan Israel yang mudah untuk menjadi bertentangan.
Tunisia dilihat sebagai mengikuti haluan pasca-Islamis yang Turki menjadi contoh unggulnya pada masa ini, tetapi Mesir mula menampakkan bagaimana fasa dan perubahan yang berlaku dinilai dengan berbeza oleh pihak yang memerhatikan perkembangan di dunia Arab hari ini.
Banyak pihak di Barat mengharapkan dasar luar yang tidak memusuhi Israel daripada negara-negara Arab yang mula menjadi lebih demokratik itu, tetapi hal itu cenderung untuk bertentangan dengan pilihan ramai rakyat di negara tersebut.
Pandangan-pandangan dari Barat tentang perubahan, tuntutan demokrasi dan sebagainya kini semakin jelas kelihatan seperti semata-mata pandangan simplistik Barat terhadap dunia lain, dan tentang apa yang dimahukan oleh rakyat negara-negara terbabit.
Jelas dapat diperhatikan dalam perkembangan di dunia Arab bagaimana sebahagian besar Barat melihat apa yang mahu mereka lihat, dan hanya menurut bahasa demokrasi dan hak asasi yang lebih mudah difahami mereka.
Lebih setahun selepas apa yang disifatkan sebagai "Arab Spring" bermula, perubahan yang dibayangkan pada masa itu masih satu kerja yang belum selesai, berbeza dengan diharapkan sejurus selepas jatuhnya diktator di Tunisia dan Mesir.
Satu yang menjadi persoalan ialah kenapa model Turki dengan segera dikemukakan sebagai pilihan. Ini memperlihatkan kepentingan Barat untuk menghalakan perubahan itu ke arah yang dapat mereka terima, dan bukan arah lain, misalnya seperti yang pernah berlaku di Palestin dan Algeria.
Walau bagaimanapun, seperti disebut oleh Asef Bayat sendiri, sesebuah kumpulan politik Islam boleh sahaja menerima beberapa bahagian wacana pasca-Islamisme dan mengekalkan wacana sedia ada yang lain.
Banyak pihak yang menerima pasca-Islamisme kelihatan menerimanya sebagai satu perubahan dan fasa baharu yang jelas bezanya dengan fasa Islamisme, dengan pandangan yang agak hitam-putih, dan melihat pasca-Islamisme sebagai perlu diterima segera untuk bergerak dalam politik baharu masa kini.
Perbincangan rancak wacana pasca-Islamisme ini memerlihatkan kecergasan kumpulan yang memerhati dan juga yang mahu perubahan pada gerakan Islam ke arah yang berbeza daripada yang diperhatikan hari ini.
Apapun kritikan terhadap ide pasca-Islamisme, kritikan terhadap kemerosotan tarikan, tenaga, simbol dan sumber keabsahan Islamisme mempunyai merit tersendiri, yang mungkin membenarkan model Turki dilihat sebagai wajar diteladani.
No comments:
Post a Comment