Soalan:
Perlukah membaca bismillah ketika nak baca al-Fatihah dalam solat?
Jawapan:
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam dan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW. Amma ba'd,
Mengenai persoalan adakah perlu membaca al-Fatihah ketika dalam solat, ada 3 pendapat:
Pendapat yang pertama mengatakan basmalah (bismillah) adalah termasuk ayat dari al-Fatihah dan dari setiap permulaan ayat. Oleh itu, membaca basmalah dalam surah al-Fatihah adalah wajib, sama ada dibaca secara perlahan mahupun kuat. Inilah pandangan jumhur ulama dan inilah pandangan yang saya ikuti.
Pendapat kedua mengatakan bahawa basmalah adalah suatu ayat yang berdiri sendiri yang diturunkan untuk mengambil berkat dan sebagai pemisah antara satu surah dengan surah berikutnya. Jadi, membaca basmalahpada setiap kali membaca al-Fatihah adalah disunatkan.
Pendapat yang ketiga mengatakan basmalah tidak termasuk bahagian dari surah al-Fatihah atau surah-surah selainnya. Seseorang yang membaca basmalah pada solat fardu adalah makruh. Namun, pandangan mazhab ini tidak kuat.
Mengenai membaca basmalah kuat (jahar) atau perlahan (sirr) ketika menjadi imam, ada dua pendapat. Yang pertama mengatakan basmalah dibaca secara perlahan. Ini antara amalan para sahabat seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, ibn Mas'ud, ibn Zubair, Ammar dan ijtihad ulama seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Ini juga pandangan yang saya ikuti. Ia bersandarkan kepada hadis daripada Anas r.a.:
صليت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم وأبي بكر وعمر وعثمان فلم أسمع أحدا منهم يقرأ بسم الله الرحمن الرحيم
"Aku solat bersama Rasulullah SAW dan Abu Bakar, Umar dan Uthman, dan tidak kudengari seorang pun di antara mereka yang membaca 'bismillah hirrahman nirrahim' (dengan kuat)."
(Sahih Muslim)
Pendapat yang kedua pula mengatakan perlu dibaca secara kuat, ini antara pandangan Imam asy-Syafi'e, Said ibn Jubair, Ato' Abi Rabah, Mujahid dan ibn Hajar al-Asqalani. Ini disandarkan kepada dalil hadis daripada Abu Hurairah r.a.:
ما أسمعنا رسول الله صلى الله عليه وسلم أسمعنا كم، وما أخفى علينا أخفينا عليكم
"Apa-apa yang diperdengarkan oleh Rasulullah SAW, maka kami akan memperdengarkannya kepadamu (dengan menguatkan bacaan) dan apa yang baginda perlahankan, kami turut perlahankannya."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
ibn Qayyim r.h. berkata: "Kadang-kadang Nabi SAW membaca 'bismillah...' dengan suara kuat, tetapi baginda lebih sering membacanya dengan suara perlahan. Tidak diragukan lagi, bahawa baginda tidaklah selalunya membaca basmalah dengan suara yang kuat ketika mengerjakan solat fardu lima waktu dalam sehari semalam, sama ada ketika bermukim mahupun ketika bermusafir. Inilah yang tidak disedari oleh para Khulafa' ar-Rasyidin, sebilangan besar sahabatnya, tabi'en dan tabi'ut tabi'en."
Wallahu a’lam.
..................................................................................
Rujukan:
- Sayyid Sabiq. 'Fiqhus Sunnah'. Terjemahan BM. Al-Hidayah Publishers.
- Dr. Zaharuddin Abd Rahman.'Formula Solat Sempurna'. Telaga Biru Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment