GURU FEQAH...untuk ibadah ZOHIR...mudah ditemui...NAMUN...GURU MURSYID...untuk ibadah BATIN...sulit dan jarang diTEMUi...Selagi jasad masih berNYAWA...guru MURSYID..ARIF BILLAH..afdhol di CARI..kerana Nabi MUHAMMAD SAW itu...GURU kepada orang MUKMIN bagi...zohir dan BATIN..berSALASILAH seperti..ilmu FEQAH juga...menggunakan HADIS berSANAD...Namun TUAN PUNYA blog ini pun BUKAN GURU MURSYID

AMARAN : jika tuan puan TAK FAHAM semasa membaca perkara yang TERTULIS di bawah ini...tolong jangan katakan ini AJARAN SESAT..kerana setiap ILMU itu...ALLAH SWT...tetap menjadikan AHLInya kepada ILMU itu. Jika kita TAK PAHAM..ilmu sains atau matematik...jangan kita..katakan pakar sains dan matematik...itu SESAT pulak.. SIAPA yang faham...berSYUKURlah kepada Allah SWT..

CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Thursday, 8 September 2011

Kitab Hikam 27 dan 28.





27: BERPEGANG KEPADA MAKAM






 JANGAN MEMINTA KEPADA ALLAH S.W.T SUPAYA DIPINDAHKAN DARI SATU HAL KEPADA HAL YANG LAIN, SEBAB JIKA ALLAH S.W.T MENGKEHENDAKI DIPINDAHKAN KAMU TANPA MERUBAH KEADAAN KAMU YANG LAMA.Hal adalah pengalaman hati tentang hakikat. Hal tidak boleh didapati melalui amal dan juga ilmu. Tidak boleh dikatakan bahawa amalan menurut tarekat tasauf  menjamin seseorang murid memperolehi hal. Latihan secara tarekat tasauf  hanya menyucikan hati agar hati itu menjadi bekas yang sesuai bagi menerima kedatangan hal-hal (ahwal). Hal hanya diperolehi kerana anugerah Allah s.w.t. Mungkin timbul pertanyaan mengapa ditekankan soal amal seperti yang dinyatakan dalam  Hikmat yang lalu sedangkan amal itu sendiri tidak menyampaikan kepada Tuhan?
 Perlu difahami bahawa seseorang hamba tidak mungkin berjumpa dengan Tuhan jika Tuhan tidak mahu bertemu dengannya. Tetapi, jika Tuhan mahu menemui seseorang hamba maka dia akan dipersiapkan agar layak berhadapan dengan Tuhan pada pertemuan yang sangat suci dan mulia. Jika seorang hamba didatangi kecenderungan untuk menyucikan dirinya, itu adalah tanda bahawa dia diberi kesempatan untuk dipersiapkan agar layak dibawa berjumpa dengan Tuhan. Hamba yang bijaksana adalah yang tidak melepaskan kesempatan tersebut, tidak menunda-nunda kepada waktu yang lain. Dia tahu bahawa dia menerima undangan dari Tuhan Yang Maha Mulia, lalu dia menyerahkan dirinya untuk dipersiapkan sehingga kepada tahap dia layak menghadap Tuhan sekalian alam. Makam di mana hamba dipersiapkan ini dinamakan aslim atau menyerah diri sepenuhnya kepada Tuhan. Tuhan yang tahu bagaimana mahu mempersiapkan hamba yang Dia mahu temui. Tujuan amalan tarekat tasauf  ialah mempersiapkan para hamba agar berkeadaan bersiap sedia dan layak untuk dibawa berjumpa dengan Tuhan (memperolehi makrifat Allah s.w.t). Walaupun hal merupakan anugerah Allah s.w.t semata-mata, tetapi hal hanya mendatangi hati para hamba yang bersedia menerimanya.
 Murid atau salik yang memperolehi hal akan meningkatkan ibadatnya sehingga suasana yang dicetuskan oleh hal itu sebati dengannya dan membentuk keperibadian yang sesuai dengan cetusan hal tersebut. Hal yang menetap itu dinamakan makam. Hal yang diperolehi dengan anugerah bila diusahakan akan menjadi makam. Misalnya, Allah s.w.t mengizinkan seorang salik mendapat hal di mana dia merasai bahawa dia sentiasa berhadapan dengan Allah s.w.t, Allah s.w.t melihatnya zahir dan batin, mendengar ucapan lidahnya dan bisikan hatinya. Salik memperteguhkan daya rasa tersebut dengan cara memperkuatkan amal ibadat yang sedang dilakukannya sewaktu hal tersebut datang kepadanya, sama ada ianya sembahyang, puasa atau zikir, sehingga daya rasa tadi menjadi sebati dengannya. Dengan demikian dia mencapai makam ihsan.
 Satu sifat semula-jadi manusia adalah tergesa-gesa, bukan sahaja dalam perkara duniawi malah dalam perkara ukhrawi juga. Salik yang rohaninya belum mantap masih dibaluti oleh sifat-sifat kemanusiaan. Apabila dia mengalami satu hal dia akan merasai nikmatnya. Rindulah dia untuk menikmati hal yang lain pula. Lalu dia memohon kepada Allah s.w.t supaya ditukarkan halnya. Sekiranya hal yang datang tidak diperteguhkan ia tidak menjadi makam. Bila hal berlalu ia menjadi kenangan, tidak menjadi keperibadian. Meminta perubahan kepada hal yang lain adalah tanda kekeliruan dan boleh membantut perkembangan kerohanian.
 Kekuatan yang paling utama adalah berserah kepada Allah s.w.t, reda dengan segala lakuan-Nya. Biarkan Allah Yang Maha Mengerti menguruskan kehidupan kita. Sebaik-baik perbuatan adalah menjaga makam yang kita sedang berada di dalamnya. Jangan meminta makam yang lebih tinggi atau lebih rendah. Semakin hampir dengan Allah s.w.t semakin hampir dengan bahaya yang besar, iaitu dicampak keluar dari majlis-Nya sesiapa yang tidak tahu menjaga kesopanan bermajlis dengan Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi. Oleh yang demikian, tunduklah kepada kemuliaan-Nya dan berserahlah kepada kebijaksanaan-Nya, nescaya Dia akan menguruskan keselamatan dan kesejahteraan para hamba-Nya.





28: PEMBIMBING JALAN HAKIKI




TIDAK BERCITA-CITA SEORANG SALIK UNTUK BERHENTI KETIKA TERJADI KASYAF (TERBUKA PERKARA GHAIB) MELAINKAN SUARA HAKIKI BERSERU KEPADANYA: “ APA YANG KAMU CARI MASIH JAUH DI HADAPAN  (OLEH ITU JANGAN KAMU BERHENTI)!” DAN TIDAK TERBUKA BAGINYA ALAM MAYA MELAINKAN DIPERINGATKAN OLEH HAKIKAT ALAM ITU: “SESUNGGUHNYA  KAMI ADALAH UJIAN, KERANA ITU JANGANLAH KAMU KUFUR!"Latihan penyucian hati membawa rohani si salik meningkat dari satu peringkat kepada peringkat yang lebih tinggi. Kekuatan rohaninya bertambah dan pada masa yang sama juga pengaruh serta kesedaran inderawinya berkurangan. Dalam keadaan seperti ini rohaninya mampu menjadi penasihat kepada dirinya sendiri. Bila terlintas dalam hatinya untuk melakukan kesalahan akan tercetuslah perasaan membantah perbuatan tersebut, seolah-olah ada orang yang menasihatinya. Apabila sampai kepada satu peringkat kesucian hati akan terbuanglah dari hatinya lintasan-lintasan yang bersifat duniawi, syaitani dan nafsi.
 Lintasan duniawi mengheret kepada kelalaian, keseronokan dan kesenangan harta benda. Lintasan syaitani mengheret kepada melakukan syirik dan bidaah yang bertentangan dengan Sunah Rasulullah s.a.w. Lintasan nafsi pula mendorong kepada maksiat dan kemunkaran. Bila hati sudah terdinding daripada lintasan-lintasan jahat maka hati akan didatangi oleh lintasan malaki (malaikat) dan Rahmani (Tuhan).
 Lintasan malaki mengajak kepada berbuat taat kepada Allah s.w.t dan meninggalkan tegahan-Nya. Lintasan Rahmani pula adalah tarikan langsung daripada Tuhan. Dalam lintasan-lintasan duniawi, syaitani, nafsi dan malaki, manusia mempunyai pilihan untuk menerima ataupun menolak cetusan atau rangsangan yang diterimanya itu. Akal dan imannya boleh memikir dan menimbang akan sebab dan akibat jika dia mengikuti sesuatu rangsangan itu. Tetapi, dalam lintasan Rahmani hamba tidak ada pilihan, tidak ada hukum sebab musabab yang boleh mencegahnya dan tidak ada hukum logik yang boleh menghuraikannya. Misalnya, seorang yang tidak pernah turun ke laut, tiba-tiba pada satu hari tanpa boleh ditahan-tahan dia pergi ke laut dan mandi, lalu mati lemas. Soalnya, tidak dapat diterangkan mengapa dengan tiba-tiba dia mahu mandi di laut dan dia tidak dapat melawan keinginan yang timbul dalam hatinya itu. Kuasa yang menariknya ke laut dan mandi lalu mati di situ dinamakan lintasan Rahmani atau tarikan ketuhanan. Dalam perjalanan kerohanian mungkin seorang salik itu menerima lintasan Rahmani yang mengheretnya melakukan sesuatu yang kelihatan aneh, tidak masuk akal dan dia sendiri tidak dapat memberi penjelasan tentang tindak tanduknya walaupun dia masih dapat melihat perbuatan yang dilakukan oleh dirinya sendiri itu.
 Semasa pengembaraannya ke dalam alam kerohanian si salik mungkin memperolehi kasyaf iaitu terbuka keghaiban kepadanya. Dia dapat melihat apa yang tersembunyi. Dia mungkin dapat melihat kepada peristiwa yang akan berlaku, dan yang telah berlaku. Mungkin juga dia dikurniakan kekeramatan seperti ‘mulut masin’, berjalan di atas air, menyembuhkan penyakit dan lain-lain. Dia juga mungkin dapat melihat dengan mata hatinya keadaan Alam Barzakh, syurga dan neraka. Penemuan perkara-perkara yang ganjil, ajaib dan indah-indah boleh mempesonakan si salik dan boleh menyebabkan dia menjadi keliru dengan merasakan dia sudah sampai ke puncak, lalu dia berhenti di situ. Lebih membahayakan lagi jika si salik tidak mendapat bimbingan guru atau guru yang membimbingnya tidak memahami tentang selok-belok alam kerohanian. Si guru tidak dapat menjelaskan pengalaman aneh yang dialami oleh murid lalu si murid tidak ada pilihan kecuali membuat tafsirannya sendiri. Oleh sebab pengalaman tersebut adalah berkenaan perkara ghaib maka murid tadi mudah menyangkakan segala yang ghaib itu adalah aspek ketuhanan.
 Di sini timbullah berbagai-bagai anggapan tentang Tuhan, kerana dia menyangkakan yang dia telah melihat zat Tuhan. Timbullah sangkaan yang Tuhan adalah nur dengan warna yang tertentu. Ada pula yang beranggapan Tuhan itu rupanya tegak seperti huruf alif. Ada pula yang mengatakan Tuhan adalah cahaya yang sangat halus. Bermacam-macam lagi anggapan tentang Tuhan muncul akibat kejahilan mengenai alam ghaib. Prasangka yang meletakkan Zat Allah s.w.t di dalam ruang dan berbentuk  adalah kekufuran. Bahaya penyelewengan akidah kepada orang yang belajar ilmu hakikat kepada yang bukan mursyid adalah besar. Orang yang belajar ilmu hakikat cara demikian membahaskan zat Ilahiat dengan menggunakan akalnya sedangkan akal tidak ada pengetahuan tentang zat.
 Murid atau salik yang mendapat bimbingan daripada guru yang mursyid dan beroleh rahmat, taufik dan hidayat daripada Allah s.w.t akan dapat melalui fitnah yang tersebut di atas dengan selamat. Salik yang masuk ke dalam Tarikan ketuhanan akan berjalan terus walau apa pun yang ditemuinya di tengah jalan, sekalipun dia ditawarkan dengan syurga. Tarikan ketuhanan yang memimpin salik itu dinamakan Petunjuk Ilmu, Perintah Batin, Petunjuk Laduni atau Suara Hakiki atau Pembimbing Hakiki. Ia adalah tarikan langsung daripada Allah s.w.t agar hamba yang Allah s.w.t mahu temui itu selamat sampai kepada-Nya. Salik menafikan semua yang ditemuinya. Selagi boleh disaksikan ia adalah sifat bukan zat. Sepanjang perjalanannya salik melihat bekas gubahan Tuhan, pengungkapan hikmat kebijaksanaan-Nya dan tanda-tanda yang memberi pemahaman tentang Dia. Zat Ilahiat tetap tinggal tertutup rapat oleh nur di balik nur dan tidak dapat ditembusi oleh sesiapa pun dan penglihatan yang bagaimana pun. Jika nur yang disaksikan, maka nur adalah salah satu daripada tanda-tanda-Nya dan juga salah satu daripada Nama-nama-Nya. Setelah habis yang dinafikan salik sampai kepada puncak kedunguannya iaitu pengakuan tentang kelemahannya mengenai zat Ilahiat. Inilah puncak pencapaian dan orang yang sampai kepada hakikat ini dinamakan orang yang bermakrifat atau orang yang mengenal Allah s.w.t. Dia mencapai hakikat maksud:


Tidak ada sesuatu apa pun menyerupai-Nya.
 Tidak ada yang menyerupai-Nya dan menyamai-Nya, mana mungkin ada gambaran tentang-Nya yang boleh ditangkap oleh penglihatan? Kebodohan dan kedunguan adalah hijab yang asli dan tidak mungkin tersingkap ditentang zat Ilahiat kecuali pada hari akhirat apabila seseorang hamba diizinkan memandang dengan pandangan mata. Sebelum itu tidak mungkin melihat Allah s.w.t dengan terang-terang. Apa yang diistilahkan sebagai melihat Allah s.w.t ialah menyaksikan Allah s.w.t pada sesuatu yang didalamnya terdapat bekas penciptaan-Nya, tanda-tanda-Nya, hikmat-Nya dan tadbir-Nya. Ia merupakan penglihatan akal serta mata hati atau melihat Nur-Nya iaitu melihat Rahsia Allah s.w.t yang tersembunyi pada sekalian kejadian-Nya. Zat Ilahiat tetap tinggal tertutup oleh keghaiban yang mutlak (Ghaibul Ghuyub).
 Orang sufi selalu mengatakan mereka melihat Allah s.w.t. Apa yang mereka maksudkan ialah penglihatan ilmu dan penglihatan hati nurani, penglihatan yang mengandungi rasa kecintaan yang sangat mendalam terhadap Allah s.w.t, dan kerinduan yang membara di dalam hati mereka. Itulah penglihatan mereka yang gilakan Allah s.w.t. Jangan ditafsirkan ucapan mereka secara lafaz tetapi selami hati mereka untuk memahami keasyikan dan kemabukan yang mereka alami.

No comments:

Post a Comment