Tingkatan Zikir |
Maka segala amal dan segala Hal itu hanya sanya yang menetapkan(meneguhkan) dia di dalam hati oleh wujud Zikir pada Hati dan Lisan. Dan kesempurnaannya(zikir) itu ialah dengan Hudur
Dan jangan ditinggalkan kerana ketiadaan Hudur tetapi sebut oleh mu akan Tuhan mu atas tiap-tiap hal seperti yang dikata oleh Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari) dalam kalam hikmahnya;
Jangan engkau tinggalkan Zikir kerana ketiadaan Hudur mu serta Allah di dalamnya(zikir) kerana bahawasanya lalaimu daripada tidak berzikir akan Allah itu telebih sangat jahatmu daripada kelalaianmu dalam berzikir. |
Jangan engkau tinggalkan Zikir kerana ketiadaan Hudur mu serta Allah di dalamnya(zikir) kerana bahawasanya lalaimu daripada ketiadaan wujud zikir akan Allah itu telebih sangat jahatmu daripada lalaimu dalam wujud zikir akan Dia. (Ini adalah kerana) kerana bahawasanya lalai daripada zikir itu menjauhkan daripada Allah Taala dan berpaling pada KulliahNya(semua halmu kepada Allah) dan lalai dalam zikir itu Hudur pada Juziyyahnya(sesetengah masa atau waktu) dan kerana bahawasanya dalam zikirnya itu menghiasi anggotanya dengan ibadat dan lalai itu menghilangkan akan dia (anggota daripada berbuat ibadat)
Keterangan Suluk (Zikir secara umum)
Menurut guru suluk, Zikir secara umumnya ialah apa sahaja amalan dan perbuatan zhohir dan batin yang membawa seseorang itu kepada mengingati Allah. Amal ibadat dan perbuatan sama ada yang zhohir atau batin yang berlandaskan hukum syarak yang dikerjakan dengan tujuan untuk mendekatkan diri dan mendapat keredhoan Allah dikatakan ianya sebagai zikir. Ini adalah kerana zikir itu terbahagi kepada kepada beberapa bahagian dan martabat seperti Zikir Anggota, Zikir Lisan, Zikir Qalbi dan Zikir Sir serta Zikir yang tenggelam dalam Mazkurnya yang akan dinyatakan oleh Tok Pulau Manis melalui keterangan selanjutnya nanti.
Melalui kalam hikmah dan keterangan Tok Pulau Manis di atas, seseorang hamba itu dianjurkan supaya sentiasa berzikir dan terus berzikir walaupun hatinya lalai daripada mengingati Allah atau tidak hadir pada hati akan makna-makna dan rahsia zikir(Hudur) semasa melaksanakannya. Inilah adalah kerana perbuatan/amalan berzikir ini walaupun dikerjakan dalam keadaan lalai, ianya sudah dianggap sebagai satu ibadat atau amal kebaikan jika dibandingkan dengan hal-ahwal seorang yang langsung tidak berzikir di mana secara terang dan nyata menunjukkan penderhakaan dan kejahatannya terhadap Allah. Orang yang langsung tidak berzikir adalah mereka yang jauh dari Allah dan kejahatan mereka itu menjauhkan lagi dari Allah kerana dengan kesombongan mereka itu menyebabkan mereka berpaling dari hal-ahwal atau tindak-tanduk kewajipan yang perlu dilaksanakan sebagai seorang hamba kepada TuhanNya.
Berbeza dengan orang yang sentiasa mengerjakan ibadat seperti sholat, puasa, di samping berzikir serta lain-lainnya; walaupun mereka lalai sewaktu mengerjakannya, sekurang-kurangnya ada juga pada waktu atau ketika/saat-saat yang tertentu akan hudur hati mereka dengan Allah atau setidak-tidaknya terhias zhohir anggota dan perbuatannya dengan amal-ibadat yang dituntut oleh syarak. Bukankah boleh dikatakan satu kebaikan pada orang bersholat atau berpuasa berbanding dengan mereka yang langsung tidak sembahyang dan berpuasa?. Demikain juga lidah yang sentiasa basah dengan zikir walaupun hatinya lalai itu terlebih baik dan mulia daripada lidah yang kosong hampa dengan kalimah-kalimah yang suci itu.
Dari kerana inilah, Tok Pulau Manis meneruskan lagi keterangannya yang seterusnya seperti berikut;
Keterangan Suluk (Tingkatan Pertama; Zikir Lisan)
Ketiga-tiga petikan yang didatangkan oleh Tok Pulau Manis di atas seakan ingin menunjukkan kepada kita bahawa betapa perlunya seorang hamba itu membasahi lisannya dengan berzikir. Terlebih-lebih lagi bagi orang-orang Salik yang ingin berjalan kepada TuhanNya, tuntutan untuk melakukan Zikir ini adalah sangat-sangat ditekankan sebagai senjata dan alat pencuci jiwa semasa dan sepanjang perjalanannya menuju kehampiran. Walaupun lalai atau merasa pahit dan berat untuk berzikir, mereka digalakkan juga untuk mengistiqamahkan Zikir Lisan ini mengikut awarid dan bilangan-bilangan tertentu.
Pandangan di atas juga menegaskan agar para Salik sentiasa bersyukur dengan anugerah dan Kurnia Allah yang sedikit dimana Allah menghiasi anggota zhohir mereka dengan amal taat dan patuh kepada Allah. Lidah yang digunakan untuk berzikir sekurang-kurangnya dapat mengelakkannya daripada mengumpat-umpat dan mengeji orang lain atau ucapan yang sia-sia atau lagho. Inilah wajah-wajah kemuliaan yang dikurniakan Allah kepada mereka yang berzikir walaupun hatinya lalai. Kemampuan untuk berzikir secara lisan tanpa hudur hati ini hendaklah disyukuri agar nanti mendapat kurnia dan anugerah Allah yang lebih lagi sebagaimana firman Allah yang bermaksud; "Dan sekiranya kamu bersyukur, nescaya kami(Allah) akan tambah lagi".
Dengan kemuliaan kurnia Allah yang sedikit dan kelebihan yang ada pada orang yang bersyukur inilah, maka Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari) mendatangkan kalam hikmahnya yang seterusnya sebagaimana berikut;
Maka mudah-mudahan bahawa diangkatkan oleh Allah akan dikau daripada Zikir(lisan) serta diperoleh lalai kepada Zikir serta diperoleh jaga |
Keterangan Suluk (Tingkatan Kedua; Zikir Qalbi)
Apabila seorang hamba/Salik mengistiqamahkan dan sentiasa bersyukur dengan Zikir Lisan mereka, Insya Allah.... Allah Yang Maha Lemah Lembut dengan pertolongan dan limpah kurniaNya akan mengangkatkan martabat Zikir Lisan mereka kepada Zikir Yaqzhoh.
Hati yang sebelum ini, buta dan jahil dengan hakikat dan makrifat mula mengenali dan memahami makna-makna di Alam Malakut yang terpancar pada zhohir sesuatu. Mereka dapat melihat akan hikmah dan pengajaran di sebalik sesuatu yang zhohir yang mendatangi mereka. Hiduplah hati atau jiwa mereka menuju ke Hadirat Al-Wafah yang akan menyempurnakan kebersihan hati untuk layak dipanggil sebagai seorang hamba dengan tahu melaksanakan adab-adab kehambaan dan adab-adab Ketuhanan dengan pelbagai hal-ahwal hati yang merujuk kepada kepatuhan dan ketundukkan yang penuh dengan kesedaran batin.
Dan daripada zikir serta diperolehi jaga (Zikir Yaqozhoh) kepada zikir serta wujud Hudur serta Allah (Zikir Sir). |
Dan daripada zikir serta diperoleh Hudur (Zikir Sir) kepada Zikir serta diperoleh ghaib daripada barang yang lain daripada Mazkor |
Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini |
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH |
No comments:
Post a Comment