(Oleh Aliff Fikri)
KUALA LUMPUR 18 Jan: Mahasiswa perlu berani ke depan menyatakan pendirian dan pendapat berhubung kebobrokan sistem pendidikan negara, kata aktivis mahasiswa, KS Bawani.
Menurut beliau, mahasiswa harus berfikiran terbuka, bukan sekadar hanya pandai mengangguk.
Mahasiswa perlu bangkit dan tidak boleh takut untuk bersuara. Sistem pendidikan yang memperbudakkan mahasiswa sehingga menjadi robot yang menidakkan kebebasan untuk menyatakan pendapat perlu diubah.
“Apa yang saya lakukan tempohari bukan untuk menjadi hero atau sengaja bertindak kurang ajar. Ia lahir atas rasa kesedaran dan tanggungjawab saya untuk menyatakan pandangan selepas moderator, Sharifah Zohra (Jabeen Syed Shah Miskin) mengecam penglibatan mahasiswa dalam politik serta keperluan pendidikan percuma pada negara,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), pagi tadi.
Pelajar undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, tiga isu penting yang perlu dititikberat mahasiswa generasi kini adalah kebebasan bersuara, meneutralkan universiti dan menuntut pendidikan percuma.
“Seperti yang terkandung dalam perlembagaan negara, perkara 10 menyebut seseorang rakyat bebas menyatakan pandangannya.
“Jadi suara mahasiswa perlu didengar kerana ia bukan saja terkandung dalam perlembagaan tapi ia adalah prinsip asas dalam negara yang mengamalkan demokrasi.
“Pemerintah juga perlu ingat, mahasiswalah yang akan memimpin negara di masa akan datang,” katanya.
Tambah beliau, universiti harus diberikan autonomi dan terikat dengan mana-mana parti,” kata Penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) itu.
“Ikatan dengan kerajaan terutamanya elit pemerintah (Umno BN) yang sering melakukan program mendoktrinasi dan membodohi pelajar akan melahirkan mahasiswa yang tidak matang fikirannya,” kata Bawani.
“Manakala pendidikan pula adalah keperluan asas untuk semua, kerana itu ia perlu diberikan percuma.
“Pendidikan bukan komoditi, maka ia tidak boleh diniagakan atau dijadikan sumber perniagaan,” tegas Bawani yang juga Pengasas Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP).
Turut hadir, Penyelaras Segmentasi Mahasiswa Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Wan Farel; Setiausaha Ameerah Muslimat PAS, Nurul Syuhada Shuib; wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Syukri Razab; Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arulchelvan dan pimpinan mahasiswa lain.
No comments:
Post a Comment