GURU FEQAH...untuk ibadah ZOHIR...mudah ditemui...NAMUN...GURU MURSYID...untuk ibadah BATIN...sulit dan jarang diTEMUi...Selagi jasad masih berNYAWA...guru MURSYID..ARIF BILLAH..afdhol di CARI..kerana Nabi MUHAMMAD SAW itu...GURU kepada orang MUKMIN bagi...zohir dan BATIN..berSALASILAH seperti..ilmu FEQAH juga...menggunakan HADIS berSANAD...Namun TUAN PUNYA blog ini pun BUKAN GURU MURSYID

AMARAN : jika tuan puan TAK FAHAM semasa membaca perkara yang TERTULIS di bawah ini...tolong jangan katakan ini AJARAN SESAT..kerana setiap ILMU itu...ALLAH SWT...tetap menjadikan AHLInya kepada ILMU itu. Jika kita TAK PAHAM..ilmu sains atau matematik...jangan kita..katakan pakar sains dan matematik...itu SESAT pulak.. SIAPA yang faham...berSYUKURlah kepada Allah SWT..

CLICK at HOME…If it said this blog does not exist.

Saturday, 27 August 2011

SERANGAN MISIONARIS KE ATAS UMAT ISLAM




SERANGAN MISIONARIS KE ATAS UMAT ISLAM
http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/2994-sn272-serangan-misionaris-ke-atas-umat-islam

 
 [SN272] Nampaknya bulan Ramadhan kali ini telah dicemari dengan politik kotor pihak tertentu yang begitu ghairah memainkan isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama yang dikatakan menjemput 12 orang Muslim ke majlis makan malam (berbuka puasa) anjurannya.

 Ekoran serbuan tersebut, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khalid Ibrahim dikecam hebat oleh media dan kumpulan penyokong kerajaan kerana tindakannya yang dikatakan tidak berpihak kepada JAIS, manakala tindakan Datuk Dr. Hasan Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, yang menyokong tindakan JAIS, dipuji habis-habisan oleh media dan penyokong UMNO.

Tanpa melepaskan peluang keemasan ini, UMNO terus menggunakan akhbar dan kumpulan penyokong mereka untuk terus melaga-lagakan PAS dengan PKR dan DAP dalam isu ini.

 PAS pula melihat isu ini sebagai sengaja dibangkitkan UMNO bagi menutup kes-kes penyelewengan yang dibongkar oleh PAS berkenaan pendaftaran mykad oleh JPN dan SPR menjelang pilihan raya umum ke-13. PAS bagaimanapun sedang berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan JAIS dan juga pihak gereja sebelum menyatakan apa-apa pendirian berkenaan isu ini. 

Pada 3 Ogos lalu, akhbar melaporkan yang Gereja Methodist ini telah menganjurkan majlis makan malam dengan menjemput 12 orang Islam yang, selain dilakukan secara tertutup, terdapat banyak perkara lain yang mencurigakan yang menunjukkan ada usaha-usaha dari pihak gereja untuk memurtadkan umat Islam. Namun, hingga kini masih belum ada kenyataan dari pihak gereja atau pengakuan dari mereka yang hadir berhubung apa yang sebenarnya telah berlaku.

 JAIS diberitakan sedang menyiapkan laporan rasmi mengenainya. Persoalan ini pada hakikatnya bukanlah suatu yang rumit untuk diselesaikan sekiranya pihak kerajaan benar-benar serius dalam menanganinya. Masalahnya, pihak kerajaan UMNO-BN hanya lebih berminat mengapi-apikan isu ini dalam usaha untuk menjatuhkan kredibiliti dan pemerintahan kerajaan negeri, kalau boleh! 

Serangan Misionaris Di Dunia Islam

Jika benar ada usaha untuk memurtadkan orang Islam oleh pihak gereja, hal ini walaupun serius, tetapi tidaklah memeranjatkan kita. Al-Qur’anul Kareem telah pun menjelaskan kepada kita bahawa “Orang-orang Yahudi dan Nasrani itu tidak akan senang kepada kamu sehinggalah kamu mengikuti milah mereka” [TMQ al-Baqarah (2):120]. Sejarah telah membuktikan bahawa kumpulan mubaligh Kristian (misionaris) ini sememangnya amat aktif dalam usaha mereka untuk menjauhkan umat dari akidah dan ajaran Islam.

 Malah salah satu sebab rosaknya pemikiran umat Islam sehingga jatuhnya Daulah Islam (Khilafah) suatu waktu dahulu adalah hasil usaha misionaris ini. Serangan misionarris telah berlaku seawal abad ke-16 di mana mereka memulakan gerakan penyesatan dengan mengatasnamakan ilmu pengetahuan dan kemanusiaan. Untuk memastikan kejayaan program ini, mereka telah menyediakan belanja yang sangat besar. Mereka bergerak untuk mencapai dua target utama:-

(i) Memisahkan dunia Arab dari Daulah Uthmaniyah dalam rangka membunuh Daulah Islam, dengan menggunakan istilah ‘Negara Turki’ untuk Daulah Uthmaniyah bagi membangkitkan fanatisme kesukuan 

(ii) Menjauhkan kaum Muslimin dari ikatan yang hakiki, iaitu ikatan akidah Islam. Dari dua tujuan ini, tujuan pertama telahpun dicapai manakala tujuan yang kedua tetap diteruskan hingga ke hari ini. Faktor yang memotivasi orang-orang Eropah membentuk pusat perguruan misionaris di dunia Islam adalah pengalaman mereka pada Perang Salib. Pengalaman-pengalaman itu menyedarkan mereka bahawa kaum Muslimin sangat kuat dan tidak dapat dikalahkan di medan perang. 

Barat lalu mengkaji rahsia kekuatan umat Islam dan mereka menemui jawapannya iaitu ‘akidah Islam’-lah yang selama ini menjadi pemberi kekuatan yang luar biasa pada tubuh umat Islam. Hukum-hakam Islam yang diterapkan oleh Daulah Khilafah telah menjalin kerjasama yang erat di antara warganegara Islam dan juga non-Muslim. Oleh yang demikian, setelah berfikir keras, kuffar penjajah ini menemui jalan untuk menghancurkan umat Islam iaitu melalui perang pemikiran. Perang pemikiran ini dijalankan melalui program misionaris.

 Langkah awalnya adalah dengan menarik para pemeluk agama Kristian agar bekerjasama dengan Barat. Seterusnya, menanam keraguan ke dalam diri setiap Muslim terhadap agama Islam serta menggoncangkan akidah mereka. Projek mega ini diwujudkan dengan langkah-langkah yang cukup tersusun dan konkrit oleh mereka.

Di akhir abad ke-16M mereka mendirikan markas misionaris di Malta. Markas itu dijadikan pengkalan serangan misionaris terhadap dunia Islam di mana dari sinilah kekuatan misionaris dikerahkan. Setelah menetap cukup lama di Malta dan mulai merasa keperluan memperluaskan gerakan, mereka berpindah ke Syam pada tahun 1625M.

 Gerakan mereka pada mulanya masih sangat terbatas tetapi sudah mampu mendirikan sekolah-sekolah kecil dan menyebarkan sebahagian dari buku-buku keagamaan kepada penduduk setempat. Mereka bersikap simpati dengan membantu menyelesaikan kesusahan-kesusahan masyarakat yang timbul akibat penindasan, pengusiran dan peperangan. 

Para misionaris ini tinggal di sana hingga tahun 1773M, sehinggalah perguruan-perguruan misionaris kaum Kristian Jesuit dihapuskan dan lembaga-lembaga mereka ditutup, kecuali beberapa perguruan misionaris yang lemah seperti Perguruan Misionaris ‘Azariyyin.

 Pengaruh dan misi para misionaris terputus dan kedudukan mereka tidak tampak kecuali di Malta hingga tahun 1820M, iaitu ketika mereka berhasil mendirikan pusat gerakan misionaris yang pertama di Beirut. Setelah mula bergerak di Beirut, mereka menghadapi banyak kesulitan, akan tetapi mereka tetap konsisten dan terus melanjutkan gerakannya. Perhatian mereka yang utama masih terfokus pada misi keagamaan manakala perhatian terhadap masalah pendidikan masih lemah.

Pada tahun 1834M, delegasi-delegasi misionaris sudah tersebar luas ke seluruh Syam. Di Desa ‘Antsurah, Lebanon, telah dibuka satu pusat misionaris. Kemudian dari Malta dikirimkan delegasi-delegasi Amerika ke Beirut untuk mencetak buku-buku sekaligus menyebarkannya. Seorang misionaris Amerika yang sangat terkenal, Eli Smith, menggerakkan misi ini dengan bersungguh-sungguh. Di Malta, aktiviti misionarisnya mendapat sambutan dari penduduk setempat.

 Pada tahun 1827M, Smith datang ke Beirut tetapi dia tidak tinggal lama dan pulang semula ke Malta kerana bimbang dengan keselamatannya di samping tidak mampu bersabar dengan cabaran di sana. Kemudian pada tahun 1834M, dia kembali lagi ke Beirut dan bersama isterinya, telah membuka sekolah untuk perempuan. Dia bertekad memusatkan hidupnya untuk bekerja di Beirut secara khusus dan di Syam secara umum. 

Seluruh aktiviti ini saling membantu dalam membangkitkan gerakan misionaris. Ibrahim Pasha yang menerapkan program-program pendidikan tahap pertama (dasar) di Syria - yang diilhamkan dari program pendidikan di Mesir, yang diambil dari program pendidikan dasar di Perancis - telah membuka peluang keemasan bagi para misionaris untuk mengembangkan sayap mereka. Mereka segera memanfaatkannya dan masuk ke dalam bidang pendidikan bersandarkan visi misionaris. 

Kemudian gerakan ini berkembang ke bidang percetakan dan tumbuh sebagai sebuah ‘gerakan pendidikan’. Dengan gerakan ini, mereka mampu mempengaruhi hati rakyat Daulah Islam (Muslim mahupun non-Muslim) atas nama kebebasan beragama.

 Di antara kaum Muslimin, Nasrani dan Druze, mula diadakan aktiviti keagamaan yang berkaitan dengan akidah. Tidak puas hanya dengan gerakan melalui sekolah-sekolah dan dakyah yang dibawa melalui penerbitan dan persoalan kemanusiaan, mereka menyiapkan langkah yang lebih maju dengan mendirikan kelompok-kelompok pengkajian. 

Pada tahun 1842M sebuah lembaga yang bertugas mendirikan kelompok pengkajian ilmiah di bawah pimpinan delegasi Amerika telah dibentuk. Kelompok ini bekerja sesuai dengan program-program para delegasi tersebut. 

Selama lima tahun, hingga tahun 1847, lembaga ini memantapkan posisinya dengan mendirikan kelompok pengkajian yang diberi nama Jam’iyyatu al-Funuun wa al-’Uluum (Kelompok Kajian Sastera dan Pelbagai Ilmu). Anggotanya adalah Nashif al-Yazji dan Butrus al-Bustaniy. Keduanya merupakan Nasrani Lebanon yang direkrut atas nama Nasrani Arab. Anggota lain adalah Eli Smith dan Cornelius van Dyke dari Amerika, serta Kolonel Churchill dari Britain. 

Pada mulanya, tujuan kelompok pengkajian ini masih samar, akan tetapi, dalam perkembangan berikutnya objektif lembaga pengkajian ini sedikit demi sedikit mulai tampak. Mereka cuba  menyebarkan ilmu dan tsaqafah asing (Kristian dan Barat) kepada tokoh-tokoh masyarakat, sebagaimana mereka menyebarkan ilmu dan tsaqafah asing di sekolah-sekolah untuk kalangan masyarakat bawahan. Semuanya dibawa dan dididik dengan pemikiran Barat serta dipandu secara khusus sesuai dengan strategi misionaris mereka.

Meskipun para penggerak kelompok pengkajian ini bekerja keras dan berjuang habis-habisan selama lebih kurang dua tahun, namun mereka masih belum mampu merekrut anggota, kecuali hanya 50 individu yang berasal dari seluruh Syam. Mereka semuanya adalah orang Nasrani dan sebahagian besar adalah penduduk Beirut. Tidak ada dari kaum Muslimin atau kaum Druze atau masyarakat umum yang menyertainya.

 Setelah lima tahun berjalan sejak penubuhannya, kelompok pengkajian ini mati tanpa meninggalkan apa-apa pengaruh selain keinginan kuat kaum misionaris untuk tetap mendirikan banyak lagi kelompok pengkajian. Atas keinginan yang kuat ini, pada tahun 1850M, didirikan pula kelompok pengkajian lain yang dinamakan al-Jam’iyyatu al-Syarqiyyah (Kelompok Kajian Ketimuran) yang didirikan oleh kaum Jesuit di bawah pimpinan seorang Paderi Jesuit berbangsa Perancis, Henri Debrenier.

 Semua anggotanya adalah dari kaum Nasrani dan asas jalannya adalah sama seperti kelompok pertama. Akan tetapi, kelompok ini juga tidak mampu hidup lama dan akhirnya terkubur sebagaimana kelompok pengkajian yang pertama. 

Pada tahun 1857M, sebuah lagi kelompok pengkajian baru ditubuhkan, kali ini dengan teknik yang baru pula. Dalam kelompok ini tidak ada satu pun warga asing yang menjadi anggotanya. Seluruh pendirinya diambil dari bangsa Arab. Ini membolehkan sebuah  koridor dibuka yang akan menyelaraskan dan menyatukan anggota-anggotanya antara kelompok Muslimin dan kelompok Druze.

 Mereka semua direkrut dan diberi platform Arab. Kelompok itu diberi nama al-Jam’iyyatu al-’Ilmiyyah al-Suriyyah (Kelompok Kajian Ilmiah Syria). Dengan kelebihan aktivitinya dan platform Arabnya serta tidak adanya anggota dari orang-orang Barat, maka kelompok ini mampu mempengaruhi warga Syria, sehingga ramai penduduk yang bergabung dengannya.

 Jumlahnya mencapai 150 orang. Di antara pengurusnya yang terkenal adalah Muhammad Arselan dari kaum Druze dan Hussain Behm dari kaum Muslimin. Demikian juga kelompok Nasrani Arab, mereka juga ikut bergabung dengan kelompok ini. Di antara mereka yang terkenal adalah Ibrahim al-Yazji dan Ibnu Butrus al-Bustaniy. 

Kelompok ini mampu bertahan lebih lama daripada kelompok-kelompok yang sebelumnya. Di antara program-programnya adalah menyelaras dan mengimbangkan ahli dan membangkitkan rasa nasionalisme Arab dalam jiwa mereka. Namun hakikatnya, tujuan sebenar kelompok ini yang terselindung adalah serangan misionaris terhadap Daulah Islam atas nama ‘ilmu’. 

Kemudian pada tahun 1875, di Beirut, dibentuk kelompok pengkajian yang sangat eksklusif (rahsia). Kelompok ini terfokus kepada gerakan pemikiran politik dan banyak menghembuskan idea nasionalisme Arab.

 Para pendirinya adalah lima pemuda yang pernah dibina dan memperoleh ilmu Protestan di Beirut. Mereka semua adalah orang Nasrani yang menguasai visi-visi misionaris yang mengakar dalam jiwa mereka. Setelah beberapa waktu, mereka mampu menghimpun ramai individu yang bersimpati dengan usaha mereka.

 Pendapat dan artikel-artikel mereka disebarkan untuk membentuk pandangan yang mengarah pada kebangkitan nasionalis dan kemerdekaan Arab, khususnya di Syria dan Lebanon. Meskipun tujuan gerakan ini terlihat jelas dalam gerakerjanya, namun program  dan berita-beritanya masih tersembunyi dan cita-citanya terus terselindung dan terpendam. 

Kelompok atau organisasi (jam’iyah) ini menyeru kepada assabiyyah serta membangkitkan permusuhan orang-orang Arab terhadap Daulah Uthmaniyah yang mereka namakan Negara Turki. Di samping itu, mereka juga berusaha memisahkan agama dari negara dan menjadikan assabiyyah Arab sebagai asas ideologi. Selain memakai ‘baju’ ‘arubah (pan Arabisme), mereka juga banyak merujuk kepada penulisan-penulisan yang mencurigai Turki, yang menurut mereka telah merampas kekhilafahan Islam dari tangan orang-orang Arab. Turki juga dituduh telah melanggar syariat Islam yang mulia dan melanggar batas-batas agama. 

Tuduhan-tuduhan itu telah membuktikan tujuan mereka dengan jelas, iaitu membangkitkan gerakan melawan Daulah Islam, meragukan kaum Muslimin dalam beragama dan memunculkan gerakan-gerakan politik yang berdiri di atas landasan selain Islam.

 Mereka juga banyak menerbitkan pelbagai risalah yang disebarkan ke segenap wilayah Arab sesuai dengan misi mereka untuk menjauhkan umat dari agama Islam dan memecah-belahkan kesatuan umat serta meruntuhkan Daulah Islam dari dalam. 

Inilah misi mereka yang dijalankan dengan licik sejak dulu hingga kini dalam menyebarkan agama Kristian, mengeksport pemikiran Barat ke Dunia Timur, meragukan kaum Muslimin dalam beragama, merendahkan sejarah Islam dan memuliakan Barat dan peradabannya. Semua itu dilakukan seiring dengan kebencian mereka yang amat sangat terhadap Islam dan kaum Muslimin, untuk menghina Islam dan menganggap umat Islam sebagai kaum ‘barbarian moden’. Gerakan missionaris ini akhirnya berjaya memperolehi hasil mereka dengan terpecah-belahnya kesatuan kaum Muslimin dan Negara Khilafah hasil dari racun 'assobiyyah yang mereka susupkan ke jiwa setiap Muslim. Usaha mereka tetap berterusan sehingga kini bagi memastikan akidah umat Islam terus melemah dan umat Islam tidak kembali bersatu di bawah naungan satu Negara. Justeru, tidak hairanlah jika usaha-usaha untuk memurtadkan umat Islam terus berlangsung hingga ke hari ini dan ia bukanlah suatu yang rahsia [lihat perbincangan lanjut dalam kitab ad-Daulah al-Islamiyyah, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani].

Peranan Negara Dalam Menjaga Akidah

Sebuah Negara Islam tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan usaha untuk merosakkan akidah umat Islam walaupun Negara sangat menjaga kedudukan warganegara non-Muslim sesuai dengan akad dzimmah yang berlaku. Hal ini kerana Negara Islam ditegakkan atas dasar akidah Islam dan adalah menjadi tanggungjawab Negara untuk membina dan menjaga kemurnian akidah umat Islam. Selain berkewajipan mendidik warganegara dengan kurikulum yang berasaskan akidah Islam, Negara juga wajib membasmi sebarang bentuk penyebaran idea mahupun usaha-usaha yang akan merosakkan akidah umat Islam seperti penyebaran ideologi kapitalisme, sosialisme (termasuk komunisme), pluralisme, sekularisme, kristianisasi dan sebarang bentuk ajaran sesat lainnya. Menurut Syeikh Abdurrahman al-Maliki, hukuman takzir kepada setiap orang yang melakukan aktiviti penyebaran ideologi atau pemikiran kufur adalah dipenjara dari 2-10 tahun, jika dia adalah seorang non-Muslim. Tetapi jika dia adalah seorang Muslim, maka kepadanya dikenakan hukuman murtad yakni dibunuh. Dan setiap orang yang melakukan penyebaran agama kufur di tengah-tengah kaum Muslimin, maka ia akan dikenakan uqubat yang serupa [Nidzamul Uqubat Fil Islam, bab Takzir]. 

Justeru, di dalam isu ini, apa yang sewajibnya dilakukan oleh pemerintah adalah memanggil dan membicarakan semua pihak yang terlibat, bukannya dengan menuding jari atau mengadu-domba pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik kotor. Jika terbukti terdapat usaha untuk memurtadkan umat Islam, maka pihak yang berkenaan wajib dikenakan takzir yang berat. Kepada orang Islam yang terlibat, jika mereka mengaku bahawa mereka telah murtad dan melakukannya dengan sedar dan sukarela, maka mereka wajib disuruh bertaubat dan kembali ke pangkuan Islam. Jika mereka tidak mahu kembali, maka hukuman ke atas mereka adalah bunuh, sesuai dengan sabda Nabi SAW, 

“Barangsiapa yang menukar agama (Islam) mereka, maka bunuhlah dia” [HR Bukhari]

Begitulah sepatutnya Negara menjaga akidah umat Islam dan mengekang sebarang usaha untuk menyesatkan umat Islam. Namun realiti pemerintah sekular Malaysia hari ini hanyalah lebih kepada berlagak hero yang kononnya menjaga Islam, walhal merekalah perosak Islam dan umat Islam. Mereka adalah pemerintah yang telah mencampak hukum Islam dari perundangan negara dan menerapkan undang-undang kufur serta membiarkan kekufuran dan kemaksiatan merajalela! Masihkah kalian tidak melihat semua kerosakan yang dilakukan pemerintah ini wahai kaum Muslimin?
 

No comments:

Post a Comment